Saya bangun pagi dengan semangat baru. Rasa
sakit hati, kecewa, marah saya tinggalkan dalam mimpi dan saya harap saya tak
akan ulangi mimpi yang saya tinggalkan. Merah cahaya mentari pagi di kaki
langit memercik ke Menara Telekom membangkitkan satu macam perasaan yang sukar
untuk saya gambarkan. ‘Indahnya ciptaan Tuhan.’ Itu saja yang terdetik di hati
saya. Dan hari ini saya akan teruskan lagi perjalanan mencapai cita-cita yang lebih
tinggi dari Menara Telekom.
Sebelum
turun bersarapan sempat lagi saya membelek planner yang tersimpan kemas di
dalam laci meja. Memikirkan tajaan yang belum mencapai sasaran, hati saya
kembali rusuh. Bukan mudah rupanya mencari duit walau satu sen. Bukan senang
untuk meyakinkan orang untuk menaja projek yang mungkin tidak mendatangkan
pulangan korporat bagi mereka. Namun tatkala saya menutup planner dan
menyimpannya semula, saya tanamkan satu tekad. Walau apapun yang terjadi, saya
tidak akan menyerah kalah. Itulah yang saya tanamkan dalam minda setiap kali sebelum
melangkah ke gelanggang dan hari ini saya akan lakukan perkara yang sama. Hidup
di kolej banyak mengajar saya tentang erti kehidupan yang sebenar. Projek, bola
tampar, dan kawan-kawan. Itulah kehidupan saya selama dua tahun di kolej selain
daripada tutorial dan assignment yang tak pernah memberi peluang kepada saya
untuk merehatkan diri. Namun saya gembira dengan kehidupan saya di sini
walaupun sekali sekala terpaksa mengorbankan cuti untuk ‘stay back’ bagi
memastikan kelancaran projek. Bingit juga telinga yang kadang-kadang menerima
leteran kakak lantaran tidak pernah mempunyai masa untuk pergi ke rumahnya pada
hujung minggu. Sibuk! Itulah alasan biasa saya.
Berada
di sisi seseorang yang kita boleh panggil kawan, berkongsi cerita dan gelak
ketawa bersama dalam ikatan yang disebut ukhwah, membuatkan saya lebih matang
dalam menilai hidup. Namun dalam kesibukan kita berkawan, ada juga yang
tiba-tiba menjadi musuh, dengan sebab yang kita sendiri tidak ketahui. Saya
tidak kisah siapa yang berdiri di sekeliling saya selagi saya tahu tinggi dan
rendahnya langit. Orang yang kita harapkan membentengi kita tidak semestinya
orang yang sama melindungi dan bersama kita di waktu susah dan senang.
Kadang
kala terdetik juga di jiwa kenapa saya harus bersengkang mata sehingga ke pukul
2 pagi semata-mata untuk menyiapkan KKD ataupun surat yang memerlukan
pengesahan segera sedangkan saya boleh memilih untuk menjadi seperti sesetengah
orang yang boleh tidur lena di katil. Tetapi
di mana lagi akan saya temui mesyuarat yang diadakan sehingga ke pukul 1 pagi
kalau bukan Kolej Kediaman Kedua. Semua itu membuatkan kadang kala saya senyum
sendiri walaupun saya masih lagi disini. Dan pasti saya akan merindui
bilik-bilik mesyuarat tersebut apabila saya meninggalkan pintu pagar kolej sedikit
masa lagi.
Waktu
petang ada kalanya terlalu sunyi tapi apabila mentari mula menghampiri kaki
langit, keadaan itu pasti berubah. Tenggayun pastinya riuh dengan sorak hilai
tawa mereka yang ingin memanaskan badan dengan bola sepak. Jogging di tepi tasik varstiti, jalan-jalan
mengambil angin, dan segala macam aktiviti mengikut agenda sendiri. Namun bagi
saya itulah saat untuk saya berehat dengan sebuah buku, novel atau apa saja
bacaan santai sebelum turun untuk mengambil makan malam. Kasut sukan telah lama
tersimpan kemas di dalam kotak setelah berakhirnya Pesta Sukan. Mungkin
sehingga tiba Pesta Sukan yang akan datang.
Dewan
Umarak pastinya tidak pernah sepi. Bila-bila saja keriuhan dan kemeriahannya
pasti terasa. Itulah meja santapan, disitu jugalah meja mengatur temu janji
dan meja itu jugalah yang menjadi bilik
mesyuarat tidak rasmi. Petikan piano walaupun kadang kala kedengaran agak
sumbang di telinga namun itulah melodi yang mengalun indah mengubat hati yang
lara. Terubat juga rindu kepada masakan emak dengan senyuman mak cik-mak cik DU
yang tidak pernah cuti memberikan khidmat. Mungkin ada kalanya menu yang terhidang tidak seiring dengan selera di
dada tetapi saya pasti kebarangkaliannya adalah kecil.
Waktu
malam pula seolah-olah sentiasa hidup buat warga kolej. Mesyuarat JKP ataupun
projek, latihan kesenian, kafe, futsal di tenggayun dan dating! Memang 2nd
tidak pernah sepi. Kesepian itu hanya milik orang yang hanya bangun dari tidur
dan ke kelas dan kembali ke bilik semula. Tapi bagi mereka yang tahu kemanisan
yang perlu dihargai dan dinikmati selama masih di sini, istilah ‘bosan’ mungkin
boleh dibuang dari kosa kata hidup.
Projek masih lagi dalam pelaksanaan gerak kerja. Dan harapan saya
pengorbanan dan titik peluh semua ahli jawatankuasa selama setahun bukanlah
pengorbanan yang sia-sia. Kita melakukan sesuatu dengan matlamat, hasrat dan
cita-cita. Dan dengan semua itu, saya pasti semua orang akan menempuh kejayaan,
cuma masanya pasti bukan dalam waktu yang sama bagi setiap orang. Projek
kenangan terindah selama saya di sini. Tapak untuk saya menapak dan mungkin
untuk yang lain juga. Mengingatkan panggilan telefon yang perlu dibuat kepada
penaja di pejabat yang baru di ubah suai, terus saya menutup fail dan shut down.