Sebagai seorang
yang mempercayai nasib sendiri adalah tanggungjawab sendiri, aku lebih percaya
kata hati daripada cakap-cakap orang. Walaupun berapa banyak orang berkata
tidak tetapi hati tetap berkata ya, aku tetap akan mengikut kata hati.
KKAA10 berlangsung
seperti yang dirancangkan. Walaupun mungkin ada yang berlaku diluar
perancangan, tapi ia tetap belangsung dan aku sangat terasa kenangannya
terutamanya ketika aku menjadi pengarah dan juga semasa aku tahun satu.
Semuanya mengembalikan kenangan yang cukup indah. Buat pertama kalinya juga aku
berasa sangat relaks semasa berlangsungnya projek. Sebab semasa tahun pertama,
aku hanya keseorangan menjadi AJK cenderamata bersama ketua aku, Kak Intan dan
kerja yang terpaksa dilakukan terlalulah banyak dan kebanyakannya aku tidak
sempat untuk menikmati makan tengah hari dan malam bersama AJK lain kerana
dunia aku hanyalah bilik gerakan. Buku cenderamata, sijil dan labu sayong!
Semasa aku
menjadi pengarah berbeza ceritanya. Walaupun bilik gerakan hanyalah sebelah dewan
makan, keinginan untuk makan hilang entah ke mana. Cukuplah dengan kepuasan
melihat orang lain makan dengan gembiranya di atas tikar merah. Walaupun selalu
berjaga hingga ke pukul 5 pagi, keletihan tetap tidak terasa kecuali pada malam
kedua aku ter’collapse’ sehingga langsung tidak sempat menyertai night journey.
Selebihnya hampir tiga suku dari masa aku dihabiskan di bilik gerakan. Memantau
atau lebih tepat lagi menjadi penyibuk! Huhu
Dan tahun ini
lain pula ceritanya. Secara jujur, pada awal-awal semester, keinginan untuk
menyertai KKAA sangatlah dingin walaupun KKAA adalah perkara yang paling aku
sayang di 2nd selain bola tampar. Mungkin kerana semua perkara yang
berlaku tahun lepas semasa aku menjadi pengarah lebih menghantui yang hampir
menyebabkan aku hilang kepercayaan kepada diri sendiri. Keinginan aku cuma
satu. Aku menyerahkan KKAA kepada Asrul dengan harapan dia akan melakukan yang
paling hebat untuk sedekad KKAA dan cukuplah aku menjadi pemantau secara tidak
langsung, dari luar . Tapi apa yang berlaku sebaliknya. Dengan keterpaksaan
yang tidak terluah aku menerima jawatan ketua biro pengangkutan dan hidangan.
Bergerak dengan hati separuh bukanlah perkara yang mudah. Tetapi alang-alang
aku melakukan perjanjian dengan orang, biarlah perjanjian itu membuahkan hasil
yang boleh memuaskan hati semua orang. Dan apa yang berlaku seterusnya cukuplah
menjadi cerita aku seorang sehinggalah KKAA berlangsung. Cukuplah ia
berlangsung. Cukuplah lawatan berlangsung. Cukuplah bas bergerak. Cukuplah
peserta berjaya datang. Cukuplah peserta selamat pulang. Tetapi aku tahu
akhirnya aku tidak berjaya sebagai Penolong Pengarah Pengangkutan dan Lawatan
seperti yang aku janjikan dengan Asrul.
Tetapi walau
apapun aku perlu mengucapkan tahniah kepada Asrul dan semua MT dan semua ketua
biro dan juga semua AJK termasuklah fasilitator kerana berjaya menjayakan KKAA
10. Semuanya berjaya mendapat pujian semua orang. Sebagai salah seorang AJK dan
sebagai satu-satunya orang yang memilih Asrul, akulah orang yang paling bangga KKAA
10 berjaya. Semua orang tersenyum bahagia bila berlangsungnya projek. Hampir
semua orang menangis gembira bila berakhirnya projek. Dan beberapa orang juga
basah kuyup selepasnya berakhirnya projek. (mesti best masuk Jerlun beramai-ramai
pada siang hari kan
Asrul, Hilman, Amin, Ismail, Safwan, Korek n Farid!- dan Man untuk kali kedua
rasanya pasti lagi best!!)
Dan kurang 24
jam selepas KKAA berakhir dengan rasminya, aku bersama geng-geng Biomed
bertolak ke Johor. Destinasi kami- puncak Gunung Ledang. Lenguh badan kesan
berlari-lari mengejar bas dan melawat Putrajaya masih belum hilang dan aku
menggalas beg rasanya yang hampir 10kg. Memang saja menempah kesusahan
sendiri.. Tapi yang susah itulah menyebabkan aku lebih menghargai masa senang
aku. Bukan mudah untuk memujuk semua orang menyertai ekspedisi yang pada
awalnya ditentang hampir kebanyakan orang. Tapi melihat semangat semua orang
semasa membuat banner, aku tahu semuanya akan OK akhirnya.
Semasa dalam
perjalanan ke Tangkak, keluar je dari Puduraya, aku terus collapse sampai la ke
tol Tangkak. Sampai lebih kurang pukul 11 lebih, terus makan tengah hari,
kemudian ambil teksi ke Gunung Ledang Resort. Selepas settle semua urusan untuk
pendakian, bertolak ke base camp lebih kurang pukul 2,
then sampai ke check point 1 (CP1), berehat kejap. Then lepas settlekan semua
bayaran dan bersedia dengan renjer, kitorang bertolak ke base camp lebih
kurang pukul 3.15. tapi perjalanan ke base camp agak mencabar kerana kebanyakan dari kami adalah first-timer, ditambah pula dengan
beban yang berkilo-kilo di atas belakang. Tapi aku tetap setia jadi antara
orang belakang, sebab misi aku cuma satu, memastikan semua orang berjaya sampai
ke puncak. Biarlah aku jadi orang paling last sampai asalkan semua orang dapat
mengecap kepuasan berada dipuncak. Tapi ada perkara yang tetap merisaukan aku.
Kasut aku semakin menghampiri zaman kejatuhannya dan adakah tempatnya juga di
puncak Ledang??
Sampai di base camp lebih kurang pukul 6. pasang khemah, sediakan tempat, sediakan makanan, dan
selebihnya perkara-perkara biasa dan perlu bersedia untuk mendaki lebih kurang
pukul 2 pagi. Tapi lebih kurang pukul 11 hujan turun dan pendakian bermula
lewat dari yang dijangka. Pukul 3.30 barulah kami memulakan pendakian. Trail
masih basah dan semuanya bergerak agak perlahan. Satu pengalaman baru bagi aku
mendaki dalam gelap hanya bertemankan lampu suluh. Tapi yang baru itulah yang
menarik.
Pukul 7.50 aku
bersama kumpulan terakhir – 11 orang – aku, Kimi, Arip, Zahrin, Sya, Hazie,
Zila, Nani, Sofi, Masma, n Illyasa’- sampai dipuncak. Lewat dari jangkaan dan
terlepas untuk tengok matahari terbit. Tapi kalau sampai awal pun tidak dapat
tengok jugak sebab awan terlalu tebal dan aku hanya mampu melihat sekeliling
yang berwarna putih. Cukup indah dan mengasyikkan. Mendamaikan. (Kesian
Illyasa’ naik tinggi-tinggi untuk tengok matahari terbit – sebab kat bawah
bangun je matahari dah tinggi - tapi tak
tercapai) (^_^)
Di puncak
barulah terasa sedikit kesejukannya. Kesejukan yang sangat aku rindu. Entah
mengapa. Dan berada di puncak menyebabkan aku lebih dekat dengan alam. Dekat
dengan Pencipta. Dekat dengan diri. Dan dekat dengan segala-galanya. Dan
sesungguhnya, jauh dalam hati, aku sangat terharu. Sebabnya ekspedisi ini
adalah rancangan aku dengan Masma dan beberapa orang lagi, dan pada awalnya
hanya beberapa orang yang bersetuju, sehingga aku hampir berputus asa untuk
meneruskan. Tetapi akhirnya 22 orang bersetuju dan semuanya berjaya sampai ke
puncak, walaupun dengan bermacam-macam cara dan kerenah. Thanks guys!!!
Setelah sejam
lebih berada di puncak kami turun dengan kumpulan 12 orang, kali ini tanpa
renjer. Perjalanan pada awalnya tiada masalah tapi bila hujan mula lebat, di
situlah bermula segala kegusaran. Dan kemuncaknya ialah bila hendak menuruni
batu hampar yang rasanya lebih kurang 80º, dalam hujan lebat dan tanpa renjer!!
Rasanya macam hidup akan berakhir kat situ juga pada masa itu. Aku yang
biasanya jadi ‘perempuan melayu terakhir’ yang men’cool’kan orang pun sudah mula kecut perut. Tiada
cara yang lain selain menuruni batu curam itu dengan tali dalam hujan. Terpaksa
atau rela. Memang keadaan akan memaksa. Dan dalam keterpaksaan itu seharusnya
aku bersyukur renjer lantikan kami, Sofi, dan R&R Kimi (renjer n rescue), Masma, Zahrin, Illyasa’ dan We Sak cukup bijak mengawal keadaan. Dan
sememangnya kami perlu berterima kasih kepada seorang renjer lain yang dalam
perjalanan naik ke puncak sebenarnya, yang turun naik batu tersebut beberapa
kali untuk menghantar Tim, Zila, Hazie ke bawah. Aku menjadi orang terakhir
bersama Kimi dan We Sak. Tiada apa yang terlintas di fikiran apabila sampai ke
bawah melainkan perasaan syukur yang teramat. Dan bila dah sampai bawah rasanya
nak naik sekali lagi batu tersebut dan turun semula. Yang pasti selepas itu aku
lebih percaya dengan diri sendiri. Tiada apa yang dapat menyelamatkan kita
melainkan keyakinan sendiri. (Dan sebenarnya apa yang paling merisaukan aku
ialah adakah kasut aku akan setia membawa aku ke bawah ataupun memaksa aku
berjalan kaki ayam sebaik menuruni batu tersebut?)
Selepas menuruni
batu hampar, halangan tidaklah seteruk tadi walaupun baju dan beg semakin berat
dengan takungan air dan jalan yang dah jadi air terjun kecil. Jadi berjalanlah
kami 12 orang dalam ‘air terjun sementara’ sendirian tanpa renjer. Keletihan
langsung tidak terasa. Semuanya gembira dengan gelak tawa yang tidak pernah
berhenti. Selepas beberapa ketika barulah bertembung dengan renjer sebenar yang
menunggu kami untuk melintas air terjun yang deras kesan dari hujan lebat. Kami
yang sampai paling lewat di puncak, kami jugalah orang yang terakhir sampai ke
base camp lebih kurang pukul 3 petang. Kami
bertolak pulang ke resort lebih kurang pukul 11.30 keesokan harinya. ‘Pengoksidaan’ dan ‘penurunan’ yang sungguh
menceriakan dan menggembirakan dan menyeronokkan. Hazie dengan ‘2 minit’nya,
Zila yang dah tak nak naik gunung yang ada tali, dan segala macam perangai yang
pasti akan dikenang.
Dan berbalik
kepada kisah kasut aku pula, syukurlah aku bukan saja berjaya sampai ke base
camp tapi juga ke resort dengan pelekatan yang lebih kurang 1 inci di depan dan
setengah inci dibelakang. Memang cukup mendebarkan aku.
Kekecewaan aku
terhadap kegagalan menguruskan lawatan dan pengangkutan dengan baik akhirnya
dapat ditebus juga dengan pendakian aku ke puncak Ledang. Sekurang-kurangnya
memberikan aku pengajaran baru. Namun kerinduan kepada KKAA tetap terasa. Kasut
masih belum kering lagi dan setia tersadai di tepi pintu.
Entries (RSS)